Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Masjid Muhammadiyah di Istanbul telah dibakar oleh beberapa individu yang tidak dikenali beberapa hari lalu.
Perbuatan jenayah ini terjadi setelah beberapa jemaahnya menerima ancaman serius daripada pihak yang tidak dikenali.
Kebakaran mengakibatkan perpustakaan masjid dan minbarnya hangus. Tiada kecederaan dilaporkan dan kebakaran berjaya dikawal oleh pasukan bomba yang tiba ditempat kejadian sejurus setelah menerima panggilan kecemasan.
Sementara itu Persatuan Ulama Syiah Turki menganggap perbuatan jenayah ini sebagai percubaan golongan Salafi memerangi golongan Syiah dan Alawi.
Presiden persatuan tersebut, Sheikh Hassan Karabulut meminta kerajaan segera menyiasat kes jenayah ini dan menghukum mereka yang bertanggung jawab.
Kata beliau, "Para penyokong Salafi dan al-Qaeda adalah dalang di sebalik pembakaran masjid Syiah di Esenyurt, Istanbul."
Sementara itu Sheikh Hasan dalam wawancara eksklusif bersama media tempatan menegaskan beberapa hari sebelum kejadian, imam masjid Muhammadiyah di Esenyurt telah menerima ancaman pembakaran tersebut. Beliau menambah, "Malangnya banyak al-Qur'an berada di dalamnya dan telah dibakar dalam bulan Ramadhan."
Selain itu menurut beliau insiden ini perlu diambil berat oleh kerajaan kerana jenayah yang tragik ini terjadi di bulan Ramadhan.
"Hari ini para pengikut Syiah Ja'fari Turki dan Alawi sedang berhadapan dengan ancaman penyokong Salafi," jelas beliau.